Archive for December, 2008

travel log 5


2008
12.23

hari khamis adalah hari pengagihan zakat. paginya masih ada lagi yang sempat pergi mencari mereka yang memerlukan di persekitaran tempat tinggal kami. pengagihan zakat dijangka bermula seawal jam 2petang dan dijangka akan tamat pada jam 5.

di petang rabu, hatiku terguris dengan beberapa orang kenalan.entah mengapa sikap mereka begitu. adakah kepenatan membenarkan mereka bersikap begitu? wallahua’lam. yang pasti hatiku terguris dan luka. sebenarnya sikap mereka ini memang dari mula diriku menyertai niche area sudah ku sedari. tapi ku hanya abaikan kerna diriku tidak perlu bertembung dengan insan-insan begini setiap hari. apapun, kuanggap ini satu cubaan buat diriku.

team work ku lihat amat lemah. ada semangat berpuak antara kami. ada yang mengikut apa saja yang disuruh kerana malas hendak bergaduh dengan satu golongan manusia ini. jika dibuka mulut, memang akan jadi masalah. kukira tika ku sedang mengarang travel log ini ku masih tidak berpuas hati dengan perangai mereka. ku hanya berdoa agar mereka akan berubah suatu hari nanti.

titisan air mata hanya mampu mengurangkan sedikit luka yang terpalit. handphone sudahlah mahal untuk menghubungi ibu di rumah. tetapi ibuku setia menghubungi untuk mengubat hati yang lara. rasa ingin cepat pulang supaya tidak lagi bersua dengan orang yang hipokrit sebegitu. baik di depan busuk di belakang. entahlah sampai bila akan ada golongan sebegitu wallahua’lam.

hatiku lara. mungkin ada yang sedari tapi tidak berani untuk bertanya. diriku juga pura-pura tiada apa-apa. menahan sedih, rasa ingin lari. tetapi ku gagahi juga menghadapi hari-hari mendatang. bumi kemboja tidak bersalah terhadapku. tetapi orang dari bumi sendiri yang  menyakitkan hatiku. mengapa yang sedemikian?

mengharungi hari keesokannya iaitu hari khamis. ku gagahi hatiku. cuba tersenyum walau terpalit kebencian terhadap insan tertentu. ku menghabiskan saban pagi memotong kuku anak kecil dan menantikan orang di klinik. nampaknya sudah tiada orang untuk bersunat pada hari ini.

cukup jam hampir menunjukkan jam 11 waktu di malaysia, ku pulang untuk memasak kerana giliranku memasak di tengah hari khamis itu. ku cuci beras dan ku masak nasi kerana itu sahaja yang ku pro di rumah. tapi memandangkan berasnya tidak sama, sukatannya terlari sedikit. nasinya agak lembik. tapi memang itu yang saya suka. cuma, bukan orang lain.

jam menunjukkan jam 2 malaysia. kak fatin sudah riuh suruh kami tolong bawa barang zakat ke bawah. dengan berat tulang kerana baru terlantar sudah diminta tolong, kami ringankan juga tulang yang berat itu. walaupun pada asalnya agak malas, disebabkan “over excited”, kami telah hilang rasa penat tadi. kami pula yang lebih-lebih melepak di muka pintu menantikan orang datang memungut zakat.

belum pun jam menunjukkan jam 2 waktu di sana, mereka telah mula muncul dan bermundar-mandir di pintu rumah. upacara penyerahan tamat lebih kurang jam 330 waktu di sana. alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

petangnya kami pergi bersiar-siar ke rumah jurubahasa kami iaitu afini dan amirah. mereka menyajikan kami buah pelam. sedapnya bukan main. almaklumlah bila percuma. semuanya sedap. kemudian kami pergi ke tasik cetek. ku kira itu adalah sawah padi yang telah dinaiki air. ada beberapa sampan di sana tetapi diriku tidak mahu naik. waktu juga menjadi penghalang kerana waktu berdetik cepat sekali. kawasan itu adalah kawasan orang kafir. geli hati bila mendengar mereka menggelarkan orang bukan beragama islam sebagai kafir. agak keras bagi orang malaysia.

kami diberikan bunga teratai oleh sepupu fini.

travel log 4


2008
12.23

hari berganti hari.. tiada apa sangat yang berbeda dari kebiasaan. seperti pagi-pagi lainnya, kami masih mengambil nombor giliran untuk mandi dan berwuduk. kadang-kadang ada juga kes kecemasan yang akan memberikan mereka yang dalam kecemasan masuk dahulu berbanding yang sedang beratur. kes-kes kecemasan adalah seperti tidak tahan untuk membuang. he he he..

pagi rabu saya mengikuti rombongan menziarahi rumah-rumah orang kampung. kami telah memilih rumah-rumah yang layak menerima zakat pada perkiraan kami. walaupun hampir semua layak menerima, dek kerana kurang dana, kami tidak dapat memberikan mereka terlalu banyak.

dalam pada perjalanan dalam pencarian siapa yang layak diberikan zakat, kami telah berjalan di lorong belakang. di sana terdapat ramai yang tampak lebih memerlukan berbanding di bahagian hadapan. ada juga rumah yang dinaiki air. salah satu daripadanya tinggal seorang nenek tua. walaupun rumahnya dinaiki air, dia tetap menetap di situ. mungkin kerna dia tiada tempat untuk bergantung harap. terdapat titian yang dibina menggunakan buluh untuk ke rumahnya. kami sempat menaiki titian tersebut.

setelah agak lama, ibu dan kak fatin sudah kepenatan. saya dan ekin meneruskan perjalanan kami dalam pencarian golongan yang memerlukan. antara rumah yang kami singgah melekat satu di dalam memori saya. rumah yang ku kira sebesar warong kopi itu didiami oleh 5 beradik dan ayahnya. rumahnya hanyalah kelihatan seperti satu pondok yang letaknya berhampiran surau. saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupannya dengan hanya terlihat satu katil yang dilitupi kelambu hampir memenuhi ruang rumahnya. semoga hidupnya dipermudahkan Allah.

selain itu, kami juga ada bertandang di rumah seorang nenek tua yang buta. dia tinggal seorang diri di sebuah pondok usang. dia menceritakan bahawa tangannya sudah terkena api ketika hendak memasak. selalunya jiran-jiran menjadi tempat sandarannya. yang menjadi tanda tanya kami, kemana perginya anak-anaknya? sanggup mereka membiarkan seorang tua hidup seorang diri. dimanakah sifat ehsan dalam diri mereka?

agak aneh bila memikirkan hakikat kehidupan mereka di kampung chroy meantrey. surau ada yang khas buat wanita dan khas buat lelaki. mengapa harus begini? yang menjadi persoalannya adalah surau lelaki  jauh lebih gah berbanding surau perempuan. adakah ini menunjukkan lelaki lebih hebat berbanding wanita? adakah perbedaan darjat antara lelaki dan perempuan?

kebersihan juga seolah-seolah tidak diendahkan. anak kecil kelihatan berjalan tanpa memakai sepatu. apabila ditanya pada jurubahasa, mereka menyatakan bahawa anak kecil itu sudah diberikan sepatu tetapi mereka yang tidak mahu memakainya. tandas tidak kelihatan memikat hati untuk ditujui. mungkinkah itu sebab si anak kecil lebih gemar membuang air kecil merata-rata?

apabila melihatkan kuku mereka, ternyata rata-rata mereka memiliki kuku yang kotor. mungkin kerana terlalu banyak bermain pasir ataupun mereka tidak tahu pun bagaimana untuk mencuci tangan dengan bersih. wallahua’lam. namun, kami membuat operasi kecilan dalam memotong kuku mereka. ada yang sementara menanti giliran menggigit kuku. geli juga bila terkenangkan kukunya yang hitam sedang digigit. namun, segala rasa geli itu terpaksa ditepis. kita perlu membuat mereka senang dengan kita. tidak seharusnya dibina jurang antara kita dan mereka.

travel log 3 by cikmune


2008
12.23

“chop nombor satu, nombor dua, nombor tiga”, itulah yang akan ku dengari apabila sedar dari tidur. masing-masing mulai bangkit dan mengambil nombor untuk mandi dan bersedia untuk solah berjemaah. jam di tangan menunjukkan jam 4.30 pagi waktu malaysia. sebenarnya tidurku sudah terganggu lebih awal kerna nyamuk gemar sekali menghisap darah manis milikku.

setelah solat subuh, yang ditugaskan memasak akan sibuk ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. setelah siap, semua dijemput untuk menikmati juadah yang telah disediakan. walaupun di bumi orang, sarapan kami tetap hebat. tidak langsung seperti ada catuan makanan. malah, senantiasa ada lebihan menjadi teman setia si plastik hitam.

sepanjang di bumi orang, kami dibekalkan dengan air osmosis. mudah juga kami berurusan kerna kedai di sebelah rumah ada orang yang pandai berbahasa melayu. apa saja yang kami perlukan, kami akan dapatkannya di kedai sebelah. ini juga sedikit sebanyak akan membantu ekonomi orang kampung secara tidak langsung.

pagi hari adalah waktu yang saya gemari di bumi kemboja. suasananya yang aman damai memikat hati. udara segar terus-terusan menghembus. ada habuk turut berterbangan menampar muka kami. namun ia tidak langsung menjadi benteng penghalang kami menikmati udara nyaman.

keluar saja dari rumah, orang kampung akan mula memandang. kami seolah-olah model. bak kata ezy, model yang tak diambil tandatangan. setiap langkah kami diperhatikan. terasa agak kekok. namun, ia juga menjadi pemangkin semangat kami untuk memberikan yang terbaik buat mereka. ada yang memberi salam, ada yang bercakap. dan kami hanya menjawab salam dan mengukir senyuman di bibir. cubaan membalas percakapan mereka akan mengundang kehampaan pada diri kami kerana kami takkan mungkin memahami mereka tanpa jurubahasa.

pagi ini ibu dan kak fatin serta beberapa rakan telah keluar bagi mencari mereka yang layak menerima zakat. modul bersama anak kecil adalah tarian ayam. disebabkan paginya saya menolong dalam persiapan sarapan, saya pergi agak lewat dan terlepas untuk melihat ragam tarian ayam. tibanya saya di sana, mereka sudah berkumpul di dalam masjid sambil mewarna. saya telah memilih untuk duduk bersama ain yang menjaga beberapa anak kecil mewarna. mereka kelihatan riang. ain menunjukkan mereka warna crayon sambil menyebutnya dalam bahasa inggeris. “purple”, mereka mengulang, “purple”. tetapi dari raut wajah kecil mereka saya dapat tahu bahawa mereka tidak faham pun apa yang kami cuba sampaikan. mereka hanya mengulang apa yang kami sebut semata-mata. setelah beberapa minit, saya dapati warnaan mereka sedikit unik. mereka telah mewarnakan seekor itik dengan warna hitam di badannya dan hijau di kepalanya. dalam modul kali ini, ada juga diriku terpandang warnaan anak kecil yang amat cantik. mungkinkah yang mereka perlukan adalah dorongan dari seorang guru yang setia melayan karenah mereka? atau, itu adalah kebijaksanaan mereka sendiri? wallahua’lam.

si anak kecil kelihatan didukung oleh si kakak yang berumur kukira dalam lingkungan 5 hingga 8 tahun. si anak kecil tidak memakai seluar. ini bererti si anak kecil separa bogel yakni tidak menutup bahagian bawahnya. dalam pada sibuk mewarna, tiba-tiba si anak kecil terkencing. si kakak hanya mengambil air dan mengelap di kawasan tersebut. keadaan ini agak meragukan kami tentang kesucian masjid tersebut. namun, ini adalah satu kesilapan kami yang amat ketara iaitu hanya pandai mengkritik dan tidak mahu bertindak. keadaan itu kekal dan hanya menjadi buah mulut sesama kami.

***

adalah sukar buat diri saya untuk mengawal anak-anak kecil ini. namun ku lihat wahab dan bro hafiz cekal dalam menarik perhatian mereka. kedua mereka berjaya menambat hati si anak kecil. bermacam-macam aktiviti mereka lakukan bersama. mengapakah si anak kecil lebih menggemari mereka berbanding kami? namun, saya bersyukur kerana ada juga orang yang si kecil ini mahu contohi. diriku hanya tersenyum dan melihat gelagat mereka yang sedang riang. adakalanya diriku turut serta membantu. aktiviti bersama si anak kecil di tamatkan dalam jam 5 petang waktu di kemboja.

malamnya kami membuat persiapan untuk esok hari. jadual telah ditentukan untuk memasak dan membasuh pinggan mangkuk.

travel log 2 by cikmune


2008
12.22

bertandang di bumi orang bukanlah sesuatu yang menjadi kesukaan ku. bukan juga menaiki kapal terbang. namun, diriku tetap gembira jika diberikan peluang sebegitu. syukur buat kali ini diriku masih mampu untuk berkunjung ke bumi kemboja.

tidak pernah terlintas sebelum ini untuk menjejakkan kaki di bumi kemboja ini. namun, alhamdulillah, segalanya telah tersurat buat diriku untuk melalui hari-hari yang hanya seminggu itu di bumi kemboja. syukur juga kerana diriku tidak pula dikenakan apa-apa bayaran. segalanya telah ditanggung beres oleh uia. alhamdulillah. mudah-mudahan ada lagi peluang seperti ini.

pagi yang penuh keheningan itu diriku telah bangkit dari tidur setelah terpengsan buatan akibat terlalu penat selama 2hari sebelum hari keberangkatan ke bumi kemboja. pagi itu diriku terpaksa bangun awal untuk membungkus barang-barang untuk dibawa ke bumi kemboja. amat penat. kena pula beg berat. astaghfirullah. sedih rasa hati. rasa macam nak nangis saje bila dah tukar beg, beg masih berat. tapi, alhamdulillah, ibubapa serta abangku dan rakan-rakan yang tidak turut sama mengikuti program ini memberiku semangat. mereka memberitahuku, “tidak mengapa jika terlebih berat, kalau lebih, bayar saje. jangan tinggalkan barang2 itu. kan barang2 tu semua dah niat nak bagi orang kemboja.” namun, hatiku masih tertanya2, bagai mana untuk berdepan dengan sahabat2 yang nak pergi kemboja. risau, nanti apa pula kata mereka kalau diriku membawa barang yang melampau beratnya. namun, diriku cekalkan hati untuk buat2 tak tahu. buat-buat takde perasaan. walhal, hati ini gundah-gulana. hanya Allah yang tahu.

dipendekkan cerita, kami masih menimbang2 beg di pagi kejadian. hatiku apa lagi, gundah-gulana. tapi menahan rasa. almaklumlah, diriku ni sertai apa-apa sorang-sorang je. takde semangat puak-puak macam yang lain. rasanya dalam ramai-ramai tu, ada juga yang sepertiku. sebenarnya, benda-benda macam ni lah yang selalu buat diriku patah hati untuk sertai program. selalu terbantut kalau takde orang yang kenal. tapi, kalau ada orang yang kenal tapi buat-buat tak kenal lagi sakit hati. baik lagi kalau tak kenal.

namun, dalam saat-saat begini, diriku memujuk hati untuk terus cekal. biar seorang diri, namun mampu berdiri. itulah yang bermain di hati.

bas bergerak lebih kurang jam 1 tengah hari. semuanya ku kira dalam 34 ataupun 35 orang. menuju lcct adalah satu perjalanan yang terasa amat lama. ku kira ku sempat juga terlena. bila terjaga, sudah nampak papan tanda klia. hairan juga kenapa tak juga tiba di lcct. rupanya memang sangat jauh. tapi hati yang semangat ini terus meronta.

tiba di lcct, tiada apa yang menarik. lcct masih dalam kerja baik pulih. sebenarnya, inilah kali pertama diriku berpijak di lcct. tak tumpah rupanya seperti terminal bas. tak sangka lebih  teruk dari terminal subang dulu. apa pun, janji dapat sampai ke bumi kemboja sudah cukup buat diriku. bak kata orang, jangan banyak songeh. he he he..

kami bertolak agak lewat dari lcct. menuju bumi kemboja dalam tempoh 1jam 45minit dengan menerombosi ruang udara. ada teman yang pertama kali menaiki pesawat. macam-macam ragamnya. dari naik kapal terbang hingga tiba di bumi kemboja kekal riuh. kesian pada doktor dinon dan yang seangkatan dengannya yang duduk di belakang mereka kerana tidak aman untuk melelapkan mata. sesekali ku hendapkan mataku ke belakang, mereka sedang riuh dengan tali keledar. sudah pasang tapi tidak tahu membuka. ku ketawakan saja.

tidak lupa lawak ketika di dalam bas. ada yang sangkakan akan naik limosin dari lcct ke klia. sungguh tinggi angan-angan mereka. namun, lcct itulah menjadi tempat bermulanya perjalanan ke bumi orang.

tiba di bumi yang penuh dengan sawah padi itu, ada sedikit masalah yang dihadapi. tidak kami sangka bahwa pembawaan barangan perubatan tidak dibenarkan ke bumi kemboja. ia adalah langkah bagi membasmi perubatan tiruan. hal ini telah melambatkan sedikit pergerakan kami. namun, doktor dinon menghadapinya dengan tabah. niat tidak menghalalkan cara, namun di tatkala kebuntuan melanda, niat telah menghalalkan cara. ini adalah kesilapan kami yang terbesar yang tak dapat nak diperbetulkan lagi. namun, moga Allah akan mengampunkan kami di atas ketelanjuran kami.

bumi kemboja diamati dengan penuh konsentrasi. di tepi saya duduknya seseorang yang saya tegur semasa di terminal lcct. dia menggelarkan dirinya sebagai kak fatin. banyak juga yang kami bualkan tentang bumi kemboja ni. walaupun itu baru saja kali yang kedua kami bersua. kali pertamanya, kami telah pun mengambil gambar kenangan bersama. harap-harap kak fatin akan ingat bila melihat gambar itu.

sistem jalan di bumi kemboja sangat asing bila dibandingkan dengan bumi malaysia tanah tumpah airku. lalu lintas di kemboja dipenuhi dengan hon yang tak henti-henti. penat diriku mengomel sepanjang berada di dalam bas. apatah lagi ketika hendak melintas jalan. perlu melihat kiri kanan kiri kanan hingga letih tengkuk.

destinasi pertama kami adalah pejabat mufti. setibanya kami, kami dipelawa untuk makan. sedap sekali masakan mereka. nampak sangat kehadiran kami amat dialu-alukan. tidak cukup dengan lauk-pauk, buah limau dan mata kucing juga disajikan.

kami yang perempuan bermalam di rumah salah seorang ustaz. kak sofyah menemani malam kami. rumahnya sangat selesa. sangat-sangat berbeda dengan apa yang ku bayangkan. rumahnya juga aman damai berdepankan tasik tonle sap. baja juga bersepahan kerana mereka membela lembu yang berwarna putih. takut juga kami kerana lembunya suka sangat memandang kami. mungkin lembunya juga mengalu-alukan kehadiran kami di rumahnya. itu saya tidak pasti.

semalaman bermalaman di rumah selesa. siangnya kami bertolak menuju kampung chroy meantrey. kampungnya agak jauh dari bandar phnom penh. lebih kurang 1 jam perjalanan menaiki bas.

chroy meantrey adalah satu kampung yang amat mengalu-alukan kehadiran kami. setibanya bas di tempat kejadian- depan masjid ar-rahman, orang kampung telah memenuhi persekitaran tidak sabar hendak bersalaman. kanak-kanak yang hendak berkhatan telah berhimpun dan duduk-duduk di kerusi. kami bersalaman dengan orang kampung dan bergerak ke rumah yang ditetapkan. yang lelaki bermalam di tingkat bawah, dan yang perempuannya di tingkat atas. tangganya amat curam. gerun juga ingin mendaki. memang rata-rata rumah di kampung chroy meantrey mempunyai tangga yang curam.

rakyat kemboja yang pertama diriku kenali adalah latifah. umurnya ku kira lebih kurang 20tahun. dirinya pandai berbahasa melayu kerana dia pernah ke malaysia. dia pernah menuntut di perlis. dia sangat peramah. kami berborak panjang di atas rumah. dia telah mengajarku bahasa cham. namun diriku tidak boleh menulisnya kerana dia memegang pen dan kertasku. hanya rakan-rakan lain yang menyalin. yang paling utama adalah “he neng gek” yang bermaksud apa nama kamu. kemudian, “mur hu dum”, berapa umur kamu. “neng len munirah” nama saya munirah. itu lah yang melekat hingga kini dari hari pertama bersua dengannya.

cadangnya kami memulakan program dengan orang kampung di hari keesokannya. namun, disebabkan orang ramai telah berhimpun, doktor dinon tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan operasi menyunat. petangnya, aktiviti bersama kanak-kanak bermula begitu juga sunaton.

ketika aktiviti modul dijalankan, saya dapati ada satu kanak-kanak telah mengambil perhatian saya. adik itu memakai baju kebaya seakan warna hijau kebiruan. saya tidak tahu namanya. dia seakan-akan meminta saya untuk terus bersamanya. ke mana saya pergi, dia akan datang menjenguk. namun saya tidak mampu berdepan dengannya. entah mengapa. hari ini kurasakan sangat menyesali waktu yang berlalu. seharusnya diriku mengambil gambar bersamanya. itulah kesilapanku. diriku malas untuk memegang kamera. lantas, terlalu banyak saat manis tidak dapat kurakamkan untuk tatapan orang lain. hanya sekadar kenangan di mindaku. semoga kita kan bertemu lagi adik..

modul pertama adalah membuat origami. sungguh susah untuk saya memahamkan adik-adik kecil itu cara untuk membuat seekor burung. ini adalah kerana masalah pertuturan yang tak dapat dielakkan. bagaikan ayam bercakap dengan itik. hatiku pilu. mereka tidak memahamiku dan diriku tidak dapat memahami mereka. akhirnya, kami membuatkan untuk mereka tanpa mereka dapat tangkap cara membuatnya.

setelah penat melayan karenah mereka hinggakan kertas pun hampir habis, kami telah diajak untuk menaiki sampan. sampan itu besar. mulanya saya agak ragu-ragu untuk menaikinya. namun, setelah melihat semua bersemangat, saya pun naik semangat untuk menurut serta. sebenarnya saya mabuk air. maka, titian untuk menuju ke sampan terpaksa ku lalui dengan hati yang cekal kepala yang pening. akhirnya ku berjaya tiba di sampan.

sampan telah penuh. sampan mula bergerak membelah sungai mekong. kusangka sudah hendak pulang, rupanya masih meneruskan perjalanan. hinggalah atikah bersuara ingin pulang. setelah sampan berpusing, minyak habis. kami mendayung menggunakan tangan dan kayu sampan yang ada. sangat jauh dari tempat kami naik. hari meniti senja. hatiku makin risau. abang yang menaikkan kami ke atas sampan sudah mula mencari kerana sudah hendak magrib. dia membelikan kami minyak. dan kami pulang menaiki jeti. jeti yang diperbuat dari buluh.

malam berlalu. tiada apa sangat yang berlaku. diriku hanya ingin bersendirian. entah mengapa hatiku ingin begitu. tapi diriku masih berasa mabuk laut. angin terusan keluar dan diriku tertidur.

*nantikan travel log3

travel log 1 ?


2008
12.22

bertapa banyak dugaan terpaksa dilalui dalam menjayakan projek kali ini iaitu projek kemasyarakatan di bumi phnom penh. ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan. pada peringkat awal iaitu sejak tahun lepas lagi, kami telah merancang untuk ke bumi turki uthmaniyyah. tetapi atas sebab dana yang tidak memberi kami ruangan untuk ke bumi turki, phnom penh telah menjadi pilihan.

bagi diri saya, saya lebih berminat ke bumi phnom penh. ini kerana saya sudah pernah menjejakkan kaki di bumi turki  dan mendapati mereka tidaklah hidup dalam keadaan daif sedikit pun. turki adalah satu negara yang kaya dengan tanaman.

berbalik ke persiapan, saya rasakan persiapan kami agak lambat. saya tidak tahu di mana salah silapnya sehinggakan persiapan harus dilakukan di waktu genting. hinggakan cuti bermula kami masih belum mendapat kata putus bahawa program ini diluluskan atau tidak. kami di awang-awangan. hendak menyiapkan segalanya risau sekiranya program tidak diluluskan. cukup seminggu bertapa di uia, kami tidak juga mendapat kata putus tetapi ada sedikit kemajuan iaitu kami telah pergi membuat sedikit perbincangan mengenai transportation dan barang2. itu sahaja.

dalam pada itu juga, kami sempat pergi ke mydin untuk melihat harga barang makanan dan telekung, juga beberapa barang lain. tetapi saya secara peribadi merasa sedih kerana kami tidak membeli apa-apa pada waktu itu. ini adalah kerana mereka memberitahu bahawa jika membeli pada waktu itu, susah untuk mendapatkan wang gantian. bagi saya, apalah salahnya kalau kita berikan sedikit wang kita untuk digunakan bersama. bukankah itu lebih elok daripada kita membeli semua barang di saat-saat akhir? entahlah, ini semua adalah hak individu sendiri. walaupun rambut kita sama hitam, hati lain-lain.

kepulangan saya di kediaman saya setelah seminggu bertapa di uia penuh dengan tanda tanya. setiap hari saya menggodek layar internet untuk mengetahui sedikit sebanyak mengenai bumi phnom penh. kehidupan, bahasa dan tempat penginapan telah terbayang. tatkala itu, kami belum lagi tahu di perkampungan mana kami akan bertapa. saya agak resah dengan hal ini yang kita tidak tahu hujung pangkalnya. yang cuma diberitahu adalah untuk hadir ke uia semula pada hari rabu setelah cuti hari raya korban.

dalam sibuk melayari hari-hari sebelum pulang ke uia, adalah sedikit sebanyak yang telah diberitahu oleh rakan-rakan. itu pun sudah lambat. tidak sempat untukku menyertai aktiviti menjahit. alangkah ruginya diriku. namun, diriku dipenuhi dengan debat2 dan cerita dengan beberapa orang yang ditemui sepanjang cuti. amat susah untuk diriku memberikan mereka keyakinan tentang program ini sedang diriku sendiri juga di awang-awangan dalam tidak pasti. tetapi, yang sudah pasti terukir di hati saya adalah kesukaran untuk mendapatkan sokongan dalam melakukan perkara yang  baik.

alhamdulillah. Allah Maha Kaya. berkat berdebat itu ini, dapatlah juga diriku mengumpul zakat mencecah usd400. :D bahagia juga rasanya walaupun hanya mampu mendapatkan satu jumlah yang agak kecil jika dilihat dalam matawang usd. namun, diriku juga berjaya memancing hati beberapa orang rakan ibu dan juga rakanku untuk memberikan sedikit sumbangan dalam menjayakan program ini. antara barang2 yang diberikan adalah berbentuk telekung, kain batik, kain pelikat dan tudung. tidak lupa juga makanan2 untuk dikongsi bersama seperti serunding, biskut, jem, coki2 dan kismis.

saya agak keciwa dengan perkhidmatan air asia yang hanya membenarkan kami membawa 15kg seorang. sepatutnya untuk kerja2 amal begini diberikan sedikit kelonggaran. ini adalah kerana saiz begku yang amat besar dan berat itu. ya Allah, sesungguhnya itu hanyalah dugaan kecil darimu buat diriku. di saat2 akhir diriku terpaksa menyusun barang ke dalam beg kecil tetapi berat juga. kesudahannya, tetap over weight.

alhamdulillah, perjalanan kami ke bumi cambodia pada 13 disember 2008 berjalan lancar. saya sungguh teruja sepanjang perjalanan.

*nantikan travel log 2 dari pengamatan saya.. :) maaf di atas segala kekurangan kerana saya tidak pernah menulis cerpen..

*pengajaran: tidak semua yang kita mahu kita akan dapat.